Sejarah Penubuhan
Koperasi Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia Berhad ditubuhkan hasil kesedaran kakitangan USIM untuk menyediakan kemudahan kredit dan mengasaskan perniagaan untuk manfaat semua warga USIM. Sejarah penubuhan bermula dengan pembentukan Jawatankuasa Penaja, diikuti pelantikan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) pada Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi yang diadakan pada 6 Mei 2004 dan seterusnya memohon Koperasi ini didaftarkan atas nama Koperasi Kakitangan Kolej Universiti Islam Malaysia Berhad pada masa itu.
Pendaftaran rasmi Koperasi ini di bawah Akta Koperasi 1993 dengan Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri Selangor telah diluluskanpada 9 Julai 2004. Sejajar dengan pertukaran nama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), koperasi ini telah meminda undang-undang kecilnya dalam Mesyuarat Agung Khas untuk menukar namanya kepada Koperasi Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia Berhad dan diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berkuatkuasa pada 12 April 2012.
Perkembangan Semasa
Kini kegiatan Koperasi semakin berkembang dengan pelbagai aktiviti perniagaan melalui lot kedai yang disewa dengan USIM.Di antaranya Kedai Coop 1Malaysia di Pusat Keusahawanan Pelajar (PKP), Pejabat Operasi dan Kedai Cenderamata di Pusat Komersil (PK), Kedai Runcit Serbaneka di Kolej Kediaman 1 (KK1) dan ruang unit perniagaan di Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC).
Selain itu koperasi ada menyediakan perkhidmatan dobi layan diri di KK1 dan KKAA, vending machine air dan snek di beberapa lokasi dalam kampus serta perkhidmatan wifi hotspot prabayar di KKNC. Dalam pada itu koperasi telah maju setapak lagi dengan menyewa lot kedai untuk dijadikan Kedai Serbaneka U-Mart yang terletak di bawah Kolej Kediaman Acacia Avenue (KKAA).
Bagi aktiviti kredit dan kebajikan untuk anggota, setakat ini Koperasi telah menyediakan kemudahan pembiayaan al Qard al Hasan dan memberi kemudahan pembiayaan i–Sejahtera dengan dana yang diperoleh daripada Tabung Modal Pusingan (TMP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
7 PRINSIP KOPERASI
Pertama | Keanggotaan Sukarela dan Terbuka |
Kedua | Kawalan Demokrasi oleh Anggota |
Ketiga | Penglibatan Ekonomi oleh Anggota |
Keempat | Autonomi dan Kebebasan |
Kelima | Pendidikan, Latihan dan Maklumat |
Keenam | Bekerjasama di antara Koperasi |
Ketujuh | Berprihatin Terhadap Masyarakat |